October 16 2018

Harap dapat RM300 juta

Harap dapat RM300 juta

Harap dapat RM300 juta

PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap kerajaan dapat memberi peruntukan sebanyak RM300 juta kepada sektor koperasi negara menjelang pembentangan Bajet 2019 pada 2 November ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, peruntukan itu bakal digunakan bagi melaksanakan program dan aktiviti yang meningkatkan nilai jualan dan perdagangan sektor koperasi di negara ini.

“Kami harap peruntukan dapat diserahkan terus kepada Angkasa untuk diuruskan kerana sebelum ini kerajaan memberi peruntukan RM100 juta kepada dua pihak iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Koperasi Jaya Diri (Kojadi).

“Untuk kali ini, kami harap peruntukan RM300 juta ini dapat diserahkan terus kepada kami untuk diuruskan dan diagihkan kepada ahli Angkasa,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Virtualflex Sdn Bhd (Virtualflex) dan ASEAN Co-Operative Organization (ACO) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Virtualflex, Jamaludin Md Ali dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norsiah Juriani Johari.

Virtualflex anak syarikat milik penuh Johor Corporation (JCorp) yang fokus kepada perniagaan sistem pembayaran dalam talian manakala, ACO gabungan koperasi ASEAN dengan Malaysia diwakili Angkasa.

Beliau yang juga Presiden ACO berkata, jumlah peruntukan itu dilihat amat penting dalam membantu Angkasa mencapai sasaran sumbangan jumlah perolehan sektor koperasi RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Menurutnya, sektor koperasi baru mencapai jumlah sumbangan RM40 bilion pada tahun lalu dan Angkasa perlu meningkatkan jumlah perolehan kepada RM10 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang untuk mencapai sasaran terbabit.

“Oleh itu, kami perlu menyediakan kemudahan pembiayaan lebih tinggi dan jika jumlah atau modal pusingan ini dapat diperolehi maka saya yakin sasaran RM50 bilion atau lebih mampu dicapai berbanding melalui bantuan modal RM100 juta saja,” katanya.

Sementara itu, Jcorp melalui Virtualflex menjalinkan kerjasama dengan ACO untuk menawarkan kemudahan kad tanpa tunai dikenali Kash Prepaid MasterCard (Kash) kepada lebih 6.5 juta ahli Angkasa di Malaysia dan ahli koperasi gabungan ACO di rantau ASEAN.

Jamaludin berkata, perjanjian persefahaman itu menyaksikan Virtualflex menyediakan kemudahan tanpa tunai seperti dompet mudah alih, pembayaran kad prabayar serta transaksi dalam talian yang mudah, cepat dan selamat.

“Saya yakin penggunaan Kash ini dapat menarik lebih ramai pengguna menggunakan kad ini kerana ia bukan saja boleh digunakan untuk membeli makanan dan minuman malah melakukan transaksi dalam talian atau tambah nilai yang cepat dan selamat,” katanya.

“Antara keistimewaan kad ini adalah ia memiliki nilai prabayar (e-dompet dan kad) yang mampu menampung sehingga RM20,000 kapasiti,” katanya.