September 5 2019
Kemudahan KA$H manfaatkan lebih sejuta pekerja asing
SYARIKAT milik penuh Johor Corp, Virtualflex Sdn Bhd (Virtualflex) memeterai memorandum perjanjian dengan Warisan Bumi Nusantara (WBN) bagi menawarkan kemudahan kad tanpa tunai, KA$H Prepaid MasterCard (KA$H) yang bakal dimanfaatkan lebih sejuta pekerja asing
di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Virtualflex, Norsiah Juriani Johari berkata Virtualflex bertindak bagi menyediakan kemudahan kad tanpa tunai seperti dompet mudah alih, pembayaran kad prabayar serta transaksi atas talian yang mudah, cepat dan selamat.
“Penggunaan KA$H bukan saja boleh digunakan untuk urusan penerimaan gaji bulanan malah melakukan transaksi dalam talian atau tambah nilai prabayar yang cepat dan selamat.
“Nilai prabayar KA$H mampu menampung sehingga RM10,000 kapasiti,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian terbabit di sini.
Perjanjian itu ditandatangani Norsiah mewakili Virtualflex manakala WBN diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Muhammed Hafiy Ramle.
Hadir sama, Pengerusi Virtualflex, Jamaludin Md Ali dan Pengerusi Eksekutif WBN, Datuk Seri Paduka Diraja Ramle Mat Daly.
Beliau berkata, seramai 1,300 pekerja asing Indonesia yang mendaftar di bawah WBN turut dapat menggunakan fasiliti global MasterCard tanpa perlu ke bank kerana dilengkapi dengan sistem Kenali Pelanggan Anda (KYC) dan daftar masuk yang mudah.
Malah, setiap permohonan bagi memiliki kad ini juga mudah kerana mereka hanya perlu memuat naik salinan pasport masing-masing menerusi aplikasi KA$H,” katanya.
Pada Mac 2019, Virtualflex menjalin kerjasama dengan Kulim (Malaysia) Bhd dengan melancarkan ‘Cashless Estate’ pertama di Malaysia bagi melaksanakan pembayaran gaji bulanan tanpa tunai menerusi KA$H Prepaid MasterCard yang memanfaatkan 5,000 pekerja asing di ladang milik Kulim.
KA$H juga boleh digunakan untuk pengeluaran serta pemindahan wang di samping mendapat diskaun atau pulangan wang sehingga 15 peratus, pembelian barangan dan perkhidmatan dengan rakan niaga terpilih seperti KFC, Ayamas dan Lazada.