August 28 2019

Kemudahan KA$H manfaatkan lebih sejuta pekerja asing

Kemudahan KA$H manfaatkan sejuta pekerja asing

Kemudahan KA$H manfaatkan sejuta pekerja asing

KUALA LUMPUR: Syarikat milik penuh Johor Corp, Virtualflex Sdn Bhd (Virtualflex) memeterai memorandum perjanjian dengan Warisan Bumi Nusantara (WBN) bagi menawarkan kemudahan kad tanpa tunai, KA$H Prepaid MasterCard (KA$H) yang bakal dimanfaatkan lebih sejuta pekerja asing di Malaysia.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Virtualflex, Norsiah Juriani Johari, manakala WBN diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Muhammed Hafiy Ramle.

Ia disaksikan Pengerusi Virtualflex, Jamaludin Md Ali dan Pengerusi Eksekutif WBN, Datuk Seri Paduka Diraja Ramle Mat Daly.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Norsiah berkata, Virtualflex bertindak menyediakan kemudahan kad tanpa tunai seperti dompet mudah alih, pembayaran kad prabayar serta transaksi atas talian yang mudah, cepat dan selamat.

“Penggunaan KA$H bukan saja boleh digunakan untuk urusan penerimaan gaji bulanan malah melakukan transaksi atas talian atau tambah nilai prabayar yang cepat dan selamat.

“Nilai prabayar KA$H juga mampu menampung sehingga RM10,000 kapasiti,” katanya berucap pada majlis itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 1,300 pekerja asing Indonesia yang mendaftar di bawah WBN turut dapat menggunakan fasiliti global MasterCard tanpa perlu ke bank kerana dilengkapi dengan sistem Kenali Pelanggan Anda(KYC) dan daftar masuk yang mudah.

Malah, setiap permohonan bagi memiliki kad ini juga mudah kerana mereka hanya perlu memuat naik salinan pasport masing-masing menerusi aplikasi KA$H,” katanya.

Pada Mac 2019, Virtualflex menjalin kerjasama dengan Kulim (Malaysia) Bhd dengan melancarkan ‘Cashless Estate’ pertama di Malaysia bagi melaksanakan pembayaran gaji bulanan tanpa tunai menerusi KA$H Prepaid MasterCard yang memanfaatkan 5,000 pekerja asing di ladang milik Kulim.

KA$H juga boleh digunakan untuk pengeluaran serta pemindahan wang di samping mendapat diskaun atau pulangan wang sehingga 15 peratus, pembelian barangan dan perkhidmatan dengan rakan niaga terpilih seperti KFC, Ayamas dan Lazada.